Keprihatinan anggota polis trafik membantu warga Thailand yang kehabisan minyak motosikal di FELDA Bukit Tangga dekat sini, mendapat pujian netizen.

ANGGOTA polis trafik, Koperal Azhari Hassan, membantu mengisi petrol ke dalam motosikal pasangan Thailand di FELDA Bukit Tangga, Jitra, semalam. - Foto ihsan FB PDRM Kedah

JITRA: Keprihatinan anggota polis trafik membantu warga Thailand yang kehabisan minyak motosikal di FELDA Bukit Tangga dekat sini, mendapat pujian netizen. 

Walaupun petrol yang diberi hanya bernilai RM2, sikap prihatin Koperal Azhari Hassan menyentuh hati pasangan warga Thailand itu yang dikatakan mengharungi perjalanan jauh selepas motosikal mereka kehabisan petrol. 

Azhari ketika dihubungi, mengakui membantu pasangan warga Thailand itu bersama Sarjan Nizar Abdul Razak dan Lans Koperal Azuan Amir dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, kira-kira jam 3.30 petang semalam. 

"Kami tak sampai hati apabila melihat mereka menolak motosikal dengan sayur yang dalam raga.

"Apabila ditanya apa yang berlaku, mereka memberitahu motosikal kehabisan minyak. 

"Kami terus ke stesen minyak kira-kira dua kilometer dari situ untuk membantu dan kembali dengan dua botol kecil berisi petrol untuk diisi dalam tangki motosikal itu," katanya. 

Azhari berkata, dua warga Thailand itu menetap di kawasan FELDA Bukit Tangga. Ketika ditemui, mereka membawa bekalan sayur untuk jualan. 

Akaun rasmi Facebook PDRM Kedah semalam memaparkan tiga keping gambar mengenai bantuan anggota trafik berkenaan. 

Difahamkan, pasangan terbabit terpaksa menolak motosikal berkenaan sejauh beberapa kilometer sebelum terserempak dengan tiga anggota trafik itu.

Kredit Berita Harian : http://www.bharian.com.my/node/233259

Post a Comment

loading...